Dato' Nozir - pastel on pastel paper

Yang Berbahagia Dato' Nozir ialah pengarah Persatuan Peladang Kebangsaan. Potret beliau ini ditempah oleh staf Persatuan Peladang Kelantan sebagai cenderamata sempena persaraan beliau pada tahun 2006.
Nama saya Abu Seman @ Pak Abu. Saya seorang pegawai kerajaan tetapi hobi saya ialah melukis. Saya seorang pelukis self-taught dan amatur. Sebagai seorang self-taught saya pasti memiliki kelemahan. Tujuan saya membuka blog ini ialah untuk mendedahkan hasil karya saya kepada khalayak. Dengan cara ini saya berharap saya akan menerima komen-komen yang membina di mana komen-komen ini amat penting untuk kemajuan diri saya pada masa akan datang. Sila klik lukisan-lukisan di bawah untuk membesarkannya.


Pertengahan tahun 1990an internet mula berkembang dengan pesat di Malaysia. Masa itu saya sudahpun berpindah ke Sungai Petani dan di tempat baru saya bertugas di bidang yang berkaitan dengan ICT. Saya rapat dengan internet. Ini menjadikan saya mula meneroka dan mengembara perkembangan terkini seni lukis di seluruh dunia dengan melayari laman-laman web artis profesional terutama di barat dari masa ke masa. Sedikit sebanyak hasil kerja mereka mempengaruhi saya. Seperti Templer Park saya semakin melihat subjek dalam skop yang lebih kecil (close-up). Sebenarnya ia kadang-kadang lebih bermakna daripada melukis lanskap dalam pemandangan yang luas, terbuka dan jauh. Dengan subjek dalam close-up kita memperincikan cerita subjek. Potrait of A Coconut Tree ialah contoh saya memfokus kepada bicara biologi dan ini menyumbangkan pengetahuan. Umpamanya tentang sifat dan peranan alam semula jadi ciptaan Tuhan. Ini tentunya berbeza dengan pemandangan dan lanskap yang mungkin menggambarkan keindahan sahaja.
Walau pun saya banyak dipengaruhi oleh gaya dan stail kawan-kawan saya Cikgu Mokhtar, Cikgu Zakaria Abdullah dan Ismail Mat Hussein saya tidak meletakkan gaya dan stail mereka sebagai ikon dalam diri saya buat selamanya. Dari pertengahan 1980an saya dan Cikgu Azran Omar melanggani majalah American Artist dan The Artist. Minda saya lebih terbuka dalam memilih tema dan subjek. Sebelum ini saya lebih tertarik kepada lanskap dalam pemandangan yang luas dan jauh. Dari majalah-majalah tadi saya mula dipengaruhi gaya dan stail artis profesional barat. Subjek saya mula berubah kepada close-up. Lukisan Templer Park di atas saya lukis pada tahun 1990 semasa mengikuti kursus Sijil Perguruan Khas di Institut Perguruan Ilmu Khas. Ia dilukis bukan untuk kerja kursus. Salah satu tugasan kami semasa berkursus ialah ekspedisi meredah hutan Templer Park, Selangor, untuk mencari bahan-bahan untuk tugasan kursus. Semasa ekspedisi saya mengambil gambar-gambar foto. Salah satu darinya saya abadikan dalam lukisan ini.
Meninggalkan Kota Bharu amat mengharukan apabila saya kehilangan ramai rakan-rakan yang mempunyai minat dan hobi yang sama, melukis. Saya dan keluarga berhijrah ke Sungai Petani, Kedah, pada awal tahun 1994 kerana bertukar bidang tugas. Sebelum itu saya bertugas sebagai guru matematik dan pendidikan seni di Sekolah Menengah Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Saya terpaksa berpindah ke Sungai Petani kerana bertukar jawatan dan tugas. Di tempat baru saya ditugaskan di bahagian grafik. Tugas ini sesuai dengan minat saya dalam seni tetapi Sungai Petani sebenarnya kosong dengan aktiviti seni lukis. Penggiat seni lukis pada amnya tidak wujud di sini. Saya keseorangan. Melukis outdoor dengan cat air saya hampir tinggalkan terus kerana tiada kawan untuk bersama. Kerana itu tumpuan saya lebih kepada melukis di studio (di rumah)dengan soft pastel. 'My Wife' dilukis berdasarkan kepada foto isteri saya. Kerana dia isteri saya maka cuba lukis sebaik mungkin. Lukisan ini dilukis pada tahun 1997.
Ketika mula mengenali medium cat air transparent saya senyap-senyap dari pengetahuan kawan-kawan juga menggilai medium soft pastel. Saya hanya melukis menggunakan cat air semasa melukis outdoor. Cikgu Mokhtar, Ismail Mat Hussein dan Cikgu Zakaria Abdullah (semua dari Kota Bharu) merupakan idola-idola awal saya dalam medium cat air. Ini bukan apa. Mereka melakukannya di depan mata saya. Saya belajar secara terus dari mereka. Apabila di rumah (dalam studio) cat air kadang-kadang membosankan. Saya perlu sediakan air dan berus. Saya memilih medium soft pastel kerana ia tersangat mudah diurus. Ia bersifat kering dan tidak memerlukan apa-apa medium sokongan. Ini bukan lukisan pertama saya menggunakan medium soft pastel. Ia merupakan lukisan pastel awal saya yang terbaik pada penilaian saya. Ia ditiru dari foto pada kulit sebuah buku penjagaan kanak-kanak. Kebetulan masa itu anak lelaki dan perempuan saya sebaya dengan kanak-kanak dalam foto tersebut maka saya ubah sedikit wajah mereka supaya hampir menyerupai wajah anak-anak saya. Saya namakan tajuk lukisan ini sebagai Brother and Sister.
Saya pernah buat sekian lama tergila-gilakan bidang lanskap dalam medium cat air sedangkan bakat saya yang lebih ketara ialah potret dalam pelbagai medium. Koleksi lukisan potret saya tidak banyak sejak tertumpu kepada lanskap. Lagi pun bila mendapat tempahan lukisan yang siap bukan milik saya lagi. Saya tertarik dengan foto seorang anak rakan saya. Posingnya menarik kerana rakan saya ini seorang jurufoto. Saya meminta izinnya untuk melukis potret ini yang saya namakannya Nadia, nama sebenar kanak-kanak ini. Saya gunakan cat minyak dengan teknik 'fat over lean'. Melukis rupa dari foto tidak sukar tetapi mewarnanya mengelirukan kerana kita boleh terpengaruh dengan warna foto. Walau bagaimanapun saya gunakan panduan warna potret untuk mewarnanya. Saya tidak meniru rupa Nadia 100% sebab saya khuatir rakan saya yang merupakan ibu kepada Nadia akan minta untuk memilikinya sedangkan tujuan saya melukis Nadia untuk koleksi sampel saya sahaja. Pelanggan selalunya ingin melihat contoh sebelum menempah. Lalu Nadia tidak akan saya jual.

Pada mulanya saya menyangka dua foto yang diambil oleh Mr. Dean itu ialah harimau yang sama. Gambar pertama diambil semasa harimau bersedia untuk turun ke sungai manakala foto kedua diambil ketika harimau itu sudah berendam dalam sungai. Namun Mr. Dean memberi tahu saya bahawa harimau-harimau itu ialah dua harimau yang berlainan. Jadi tepatlah saya gabungkan kedua-dua harimau itu dalam satu lukisan yang mengambarkan sepasang kekasih harimau yang intim. Bagi mengaitkan dengan isu harimau di Jerangau saya nama tajuk lukisan ini sebagai 'Pengantin Jerangau'. Saya tidak mengharapkan apa-apa kemenangan tetapi sekadar seronok untuk bertanding. Lukisan ini dipamerkan bersama lukisan peserta-peserta lain selama dua bulan di Muzium Terengganu mulai tarikh pertandingan pada 6 Ogos 2005. Selepas pertandingan itu lukisan ini dipinjam untuk pameran semasa oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan sehingga kini.
Imej wajah Tok Kenali hanya boleh dikesan dari foto lama zamannya dalam hitam putih. Ini menimbulkan keraguan bagi saya untuk melukis wajahnya dalam warna. Putihkah atau hitamkah orangnya? Lantas saya mendapatkan bantuan dari biras saya, Ustaz Solahuddin untuk mendapatkan maklumat warna kulit Tok Kenali. Sebagai seorang ustaz beliau kenal lebih ramai orang yang ada hubungan dengan ulamak Kelantan terkenal ini. Dari maklumat yang yang diterima darinya Tok Kenali berkulit gelap. Sebaik sahaja mendapat maklumat ini saya setkan warna yang sesuai di atas palet dan terus melukis dan mewarna. Sebenarnya dalam lukisan potret terdapat 6 set warna untuk 6 jenis atau warna kulit yang berbeza. Saya cuma mengambil masa satu minggu untuk menyiapkan potret Allahyarham Tok Kenali yang bersaiz 18 in x 24 in ini. Pada awalnya saya merancang untuk mencetak potret ini dan menjualnya dalam bentuk poster. Saya pernah terfikir untuk menjual lukisan asalnya tetapi mengubah fikiran kemudiannya. Saya tidak akan menjual lukisan ini.