Abu Seman's Art Online

Nama saya Abu Seman @ Pak Abu. Saya seorang pegawai kerajaan tetapi hobi saya ialah melukis. Saya seorang pelukis self-taught dan amatur. Sebagai seorang self-taught saya pasti memiliki kelemahan. Tujuan saya membuka blog ini ialah untuk mendedahkan hasil karya saya kepada khalayak. Dengan cara ini saya berharap saya akan menerima komen-komen yang membina di mana komen-komen ini amat penting untuk kemajuan diri saya pada masa akan datang. Sila klik lukisan-lukisan di bawah untuk membesarkannya.

Wednesday, September 07, 2005

Pengantin Jerangau - oil on linen


Tajuk lukisan ini mungkin agak aneh bagi orang lain. Saya kaitkan Jerangau di Terengganu dengan dua ekor harimau dalam lukisan saya ini. Apa kaitannya? Segalanya bermula apabila saya terima borang Pertandingan Melukis Citra Terengganu 2005 dari kawan saya. Terdapat dua kategori dalam pertandingan ini. Pertama melukis 'on the spot' manakala kategori kedua ialah kategori lukisan siap. Saya memilih kategori kedua sebab itu sahaja yang saya mampu lakukan dan masa cukup lebar untuk menyiapkannya sebelum pertandingan. Cuma saya terfikir apa tema yang akan saya pilih sesuai dengan tema utama pertandingan 'citra Terengganu'. Saya teringat dua keping foto harimau dari lamam web Mr. Chriss M. Dean, seorang juru foto alam semula jadi dari Ohio, Amerika Syarikat. Mr. Chriss M. Dean mengmbil dua foto harimau Malaya ini di Perak. Kalau orang lain memilih tema biasa seperti lanskap, kebudayaan dan lain-lain saya rasa biar saya pilih yang lain sikit. Saya teringatkan isu harimau di Jerangau. Konflik harimau dan manusia di Jerangau terkenal di seluruh dunia. Jadi kenapa bagi saya isu ini tidak boleh dijadikan tema Citra Terengganu? Saya lantas menulis email kepada Mr. Chriss M. Dean meminta kebenaran dari beliau untuk meniru fotonya dan beliau membenarkan.

Pada mulanya saya menyangka dua foto yang diambil oleh Mr. Dean itu ialah harimau yang sama. Gambar pertama diambil semasa harimau bersedia untuk turun ke sungai manakala foto kedua diambil ketika harimau itu sudah berendam dalam sungai. Namun Mr. Dean memberi tahu saya bahawa harimau-harimau itu ialah dua harimau yang berlainan. Jadi tepatlah saya gabungkan kedua-dua harimau itu dalam satu lukisan yang mengambarkan sepasang kekasih harimau yang intim. Bagi mengaitkan dengan isu harimau di Jerangau saya nama tajuk lukisan ini sebagai 'Pengantin Jerangau'. Saya tidak mengharapkan apa-apa kemenangan tetapi sekadar seronok untuk bertanding. Lukisan ini dipamerkan bersama lukisan peserta-peserta lain selama dua bulan di Muzium Terengganu mulai tarikh pertandingan pada 6 Ogos 2005. Selepas pertandingan itu lukisan ini dipinjam untuk pameran semasa oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan sehingga kini.

1 Comments:

Blogger ProV1 said...

This comment has been removed by a blog administrator.

11:30 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home